smart #3 – Pendaftaran minat SUV EV dibuka di M’sia
Pendaftaran minat atau registrations of interest (ROI) untuk smart #3 telah pun dibuka di Malaysia, selepas ia dipertontonkan menerusi acara KL Car Free Morning di Kuala Lumpur baru-baru ini. Difahamkan SUV elektrik (EV) ala coupe ini juga akan dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi.
smart #3 merupakan model kedua dari jenama smart Automobile hasil kerjasama antara Geely dan Mercedes-Benz, dengan model pertamanya ialah #1. Baru-baru ini smart Malaysia mengumumkan bahawa smart #1 kini merupakan model ketiga paling laris dalam kelasnya iaitu untuk segmen SUV EV premium yang dijual pada harga lebih dari RM180,000. Mampukah #3 mengikut jejak abangnya itu apabila dilancarkan di sini kelak?
Secara fizikalnya, #3 mempunyai dimensi berumusan 4,440 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,600 mm tinggi dan jarak rodanya 2,785 mm, di mana #1 lebih pendek tetapi lebih tinggi dan lebih lebar, iaitu pada 4,270 mm panjang, 1,822 mm lebar dan 1,636 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm. Model #3 juga berkongsi binaan Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dengan #1.
Model ini dikatakan mampu bergerak sejauh 440 km dalam kitaran WLTP yang lebih realistik. Untuk bentangan unit rangkaian kuasa pula adalah sama seperti yang ditawarkan pada #1 di mana versi asas hanya memacu roda belakang dengan motor tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala varian paling berkuasa dengan lencana Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, bersama bekalan kuasa penuh berjumlah 428 PS (422 hp atau 315 kW).
Imej rasmi sebelum ini mendedahkan #3 menampilkan reka bentuk papan pemuka yang seiras dengan #1, namun dengan sedikit perincian berbeza termasuk corong pendingin hawa bulat pada konsol tengah dan unit bujur pada bahagian sisi.
Ia juga dilengkapi dengan skrin sesentuh ‘ala terapung’ sentral 12.8-inci, sistem bunyi Beats dengan 13-pembesar suara serta bumbung suria panoramik yang menambahkan pencahayaan ke dalam kabin.
Untuk harganya di pasaran Malaysia masih belum didedahkan. Namun #3 yang dipertingkatkan di China berharga dari 164,900 yuan (RM109,200) untuk Standard Range, dan Dynamic Long Range pula berharga 184,900 yuan (RM122,400). Bagi Dynamic AWD pula berharga 219,900 yuan (RM145,600), dan varian Brabus ditawarkan pada harga 289,900 yuan (RM191,900).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.