Polis sedang mengesan pemandu-pemandu yang melawan arus di Raub Bypass LTU Sabtu lalu

Polis sedang mengesan pemandu-pemandu yang melawan arus di Raub Bypass LTU Sabtu lalu
Sabtu lalu tular satu video yang memaparkan sejumlah besar pemandu melakukan pusingan-U dan memandu melawan arus di Raub Bypass Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku. Perkara ini nampaknya sudahpun menarik perhatian pihak berkuasa di mana Polis Diraja Malaysia menyatakan bahawa pihaknya kini sedang mengesan kesemua pelaku dalam video berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman salam laporan Sinar Harian, buat masa ini pihaknya tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan pemilik kenderaan yang merakam video berkenaan.

“Walau bagaimanapun, selepas pemerhatian dari video tersebut, terdapat beberapa buah kenderaan yang dapat dikesan selepas melakukan pemeriksaan melalui aplikasi Mysikap JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) bagi membantu siasatan.

“Manakala semua kenderaan lain yang terlibat dalam video tersebut termasuk pemilik video sedang dikesan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

 

 

Raub Bypass merupakan jalan pintas yang baru dibuka pada 8 Mac lalu yang dikatakan dapat memendekkan tempoh perjalanan kira-kira 30 minit kerana pengguna tidak perlu lagi melalui Bandar Bentong dan Bandar Raub.

Namun mungkin kerana pertambahan jumlah kenderaan yang terlalu mendadak memandangkan orang ramai yang telah mula bercuti dan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan minggu ini, jalan berkenaan tiba-tiba sesak dan mendorong sekumpulan pemandu melakukan salah laku tersebut.

Anda dinasihatkan untuk tidak melakukan kesalahan yang sama sekiranya berhadapan dengan situasi seperti ini bukan hanya ia menyalahi undang-undang, malah ia turut membahayakan nyawa kerana anda perlu memandu melawan arus dari laluan lebuhraya sehingga ke susur keluar lebuhraya berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Source link