Ora Good Cat 2024 kini RM26k lebih murah, RM114k-RM144k; pemilik sedia ada dapat selenggara percuma
Pengeluar kereta China yang beralih ke pasaran import untuk mengelakkan perang harga di negara sendiri pastinya terkejut dengan situasi berbeza di sini. Pelancaran Chery Omoda E5 dengan harga yang begitu menarik telah membuatkan pesaingnya, BYD, untuk menurunkan harga bagi Atto 3, dan kini langkah yang sama turut diambil oleh Ora Good Cat.
Hatchback elektrik ini ditawarkan dengan diskaun yang besar hingga RM26,000 untuk semua barisannya, kini bermula RM113,000 untuk model asas 400 Pro, meningkat ke RM143,800 untuk 500 Ultra. Ia merupakan harga runcit yang disarankan (RRP), dengan kos atas jalan (OTR) ditambah lagi RM700, membawakan harga OTR sekitar RM114,500 untuk 400 Pro dan RM114,500 bagi 500 Ultra.
Ini bermakna, pengurangan harga bagi 400 Pro kini RM16,000 lebih murah berbanding BYD Atto 3 Standard Range 2023, sementara 500 Pro pula RM3,000 lebih murah berbanding Omoda E5 (RM146,800 termasuk kos OTR). Paling penting, tidak seperti Atto 3, diskaun tersebut ditawarkan untuk model tahunan 2024, walau GWM berkata terdapat terma dan syaratnya.
Ditambah pula, Good Cat ditawarkan dengan pengecas AC wallbox percuma dan pengecas boleh alih tiga-pun sehingga 30 April sebagai sebahagian daripada promosi Raya.
Imbas kembali, varian 400 Pro dilengkapi oleh bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang mampu memberikan jarak perjalanan 400 km, dan mengambil masa sekitar lapan jam untuk dicas penuh dari pengecas AC 6.6 kW menerusi sambungan Type 2.
Manakala varian 500 Ultra pula menggunakan bateri dengan kapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km. Jarak yang dinyatakan ini adalah mengikut kitaran ujian NEDC. Ia mengambil lebih kurang 10 jam jika dicas menggunakan pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan dengan tahap 0-80% boleh diselesaikan sekitar 40 minit.
Kedua-dua varian juga menampilkan motor elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 143 PS/210 Nm, membolehkan Ora Good Cat ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 152 km/j.
Kini, pemilik sedia ada juga diberikan penawaran yang menarik iaitu lanjutan waranti am dari lima tahun ke tujuh tahun (masih had perbatuan yang sama 150,000 km) dan lima tahun selenggara percuma bagi selang selenggara terakhir. Untuk bateri dan motor, waranti masih dikekalkan pada lapan tahun atau 180,000 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.