Anda boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga 2 tahun jika halang konvoi yang diiringi polis
Parlimen Malaysia telah meluluskan beberapa pindaan terhadap Akta Polis 1967 (Akta 344), yang merangkumi semakan kepada Seksyen 21 yang meliputi tugas pegawai polis di jalan raya awam. Pindaan kepada Fasal 4 kini memperuntukkan polis menjalankan tugas pengiring.
Perkara sama ada seorang pemandu perlu memberi laluan kepada konvoi VIP yang sedang diiring oleh polis telah diperdebatkan dengan hebat sebelum ini. Seorang pakar undang-undang pernah berkata bahawa tidak ada undang-undang sedemikian yang memerlukan pemandu untuk memberi laluan kepada konvoi VIP di jalan raya.
Bagaimanapun, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pada masa itu bahawa pengguna jalan raya yang ingkar arahan polis terutamanya dalam enggan memberi laluan kepada konvoi VIP apabila diminta boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Polis, Akta Lalu Lintas Jalan Raya dan Kanun Keseksaan.
Dengan pindaan terbaharu (D.R. 6/2024), kini termaktub dalam undang-undang bahawa menjadi kewajipan polis untuk menjalankan sebarang tugas pengiring. Akta itu juga menyatakan dalam Subseksyen (2) bahawa “mana-mana individu yang menghalang, menentang atau mengingkari mana-mana arahan munasabah yang diberikan oleh mana-mana pegawai polis dalam melaksanakan tugasnya di bawah seksyen ini adalah suatu kesalahan dan hendaklah bertanggungjawab apabila disabitkan.”
Subseksyen ini juga telah dipinda untuk meningkatkan tahap hukuman, justeru, individu yang ditangkap kerana mengingkari arahan polis yang menjalankan sebarang tugas pengiring boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga dua tahun, berbanding sebelum ini hanya RM200 dan dua bulan penjara.
Satu lagi pindaan penting kepada Akta itu melibatkan Seksyen 26, yang menyaksikan kenaikan denda maksimum daripada RM1,000 kepada RM2,000 bagi sesiapa yang gagal mematuhi arahan polis supaya berhenti sebelum sampai di mana-mana penghadang yang didirikan atau diletakkan oleh mana-mana pegawai polis. Sementara itu, Seksyen 6A baharu pula menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehormat bagi memberi penghormatan dalam hal ehwal adat istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.